![gravatar](http://4.bp.blogspot.com/_jA-SP6SAtfY/Sp4qMcwSneI/AAAAAAAAA1g/JJwc0KC1l7g/s1600/avataro.jpg)
Pengadu Minta Mesin ATM di tambah di Daerah Tambunan
Ehsan NEW Sabah Times
24th August, 2011 - SEORANG pengadu telah menghubungi ActionLine baru-baru ini berkaitan masalah kekurangan Mesin ATM (Automatic Teller Machine) yang terdapat di daerah Tambunan.
Menurut pengadu, pada masa ini cuma terdapat sebuah bank yang beroperasi di daerah tersebut dan mereka menyediakan hanya dua buah Mesin ATM untuk kegunaan pelanggan mereka.
“Apabila kedua-dua mesin berkenaan rosak tempoh hari, ia benar-benar menyulitkan kami (pengguna) kerana tidak ada lagi mesin ATM yang terletak berdekatan,” kata pengadu.
“Jika kejadian seumpama itu berlaku ketika waktu pejabat, maka mungkin masih mempunyai alternatif iaitu dengan mengeluarkan wang secara manual tetapi jika mesin tersebut rosak pada hari cuti atau waktu malam, tiada apa yang dapat kami lakukan selain menunggu sahaja sehingga mesin berkenaan dibaiki,” tambah pengadu lagi.
“Jika boleh mereka sepatutnya meletakkan satu atau dua lagi mesin ATM di stesen minyak atau mana-mana tempat yang berhampiran dengan pasaraya untuk kemudahan semua pelanggan mereka yang tinggal di daerah ini,” cadang pengadu berkenaan.
Sementara itu, jurucakap dari bank berkenaan ketika dihubungi ActionLine menjelaskan bahawa masalah tersebut akan diajukan kepada pegawai berkenaan sebelum mereka dapat memberikan sebarang maklum balas kepada ActionLine.