![gravatar](http://4.bp.blogspot.com/_jA-SP6SAtfY/Sp4qMcwSneI/AAAAAAAAA1g/JJwc0KC1l7g/s1600/avataro.jpg)
Generasi baru perlu pelajari sejarah Pesta Kuih Bulan: Pairin
Ehsan News Sabah Times (23.08.2011)
KENINGAU: Generasi pada hari ini perlu mempelajari sejarah Pesta Kuih Bulan yang diraikan oleh masyarakat Tiong Hua untuk menangani masalah yang timbul di kalangan generasi kini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, sejarah Pesta Kiuh Bulan perlu dihayati dalam soal membincangkan isu-isu perpaduan.
Katanya, sejarah Pesta Kuih Bulan di tanah besar China pada zaman dahulu berjaya mengatasi kesusahan besar yang menimpa masyarakat China dengan hanya memerhatikan mesej rahsia yang tersembunyi dalam kuih bulan.
“Mesej rahsia itu difahami oleh masyarakat Cina pada ketika dapat mengatasi masalah melalui langkah-langkah tertentu terutama dalam menyampaikan kesedaran di kalangan rakan-rakan dan saudara mara bagi membolehkan mereka bersatu padu semasa bertindak” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Kuih Bulan Peringkat Daerah anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) Liawan di Dewan Serbaguna SJK (C) Yuk Kong dekat sini pada Sabtu lepas.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Ahli Parlimen Keningau berkata, dengan strategi yang mudah tetapi lebih bijak itu masyarakat Cina berjaya menentang musuh.
Kemenangan itu katanya, diingati dan dirayakan setiap tahun oleh masyarakat Cina sehingga hari ini.
Katanya, generasi pelbagai kaum pada hari ini perlu mempelajari sejarah itu kerana nilainya signifikan dan boleh dikongsi oleh masyarakat yang lain.
Sementara itu, Ketua Bahagian PBS Liawan Datuk Jake Jikulin Nointin berkata, sambutan Pesta Kuih Bulan itu mendapat sambutan di luar jangkaan kerana ia dihadiri oleh masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan.
Katanya, pesta itu bukan sahaja unik dan diraikan secara besar-besaran tetapi ia dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di daerah ini.
Jake yang juga penasihat sambutan pesta itu berharap, pesta itu akan berterusan setiap tahun di daerah itu sebagai pemangkin masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di daerah berkenaan.
Pesta Kuih Bulan yang diserikan dengan warna-warni lampu tanglong dan acara hiburan tari menari dan nyanyian itu dihadiri oleh lebih 2,000 masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan termasuk ibu bapa dan murid-murid SJK (C) Yuk Kong.
Hadir sama Kapitan Lee Teck Sun selaku pengerusi penganjur, Pegawai Daerah Lahad Datu Hj. Zulkifli Nasir, pemimpin-pemimpin masyarakat Cina dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.